Sejarah penerbitan Infinity Science Fiction

Majalah cereka sains Amerika muncul pertama kalinya pada tahun 1920-an dengan pelancaran Amazing Stories, majalah pulpa yang diterbitkan oleh Hugo Gernsback.[1] Permulaan cereka sains sebagai genre yang dipasarkan secara berasingan dapat ditelusuri hingga waktu ini,[2] dan pada akhir tahun 1930-an, bidang ini mengalami ledakan pertamanya. Perang Dunia Kedua dan kekurangan kertas menyebabkan beberapa judul berakhir,[3] tetapi pada akhir 1940-an pasaran mulai pulih. Daripada lapan buah majalah aktif pada tahun 1946, bidang ini berkembang menjadi dua puluh buah pada tahun 1950, dan puluhan lagi mula diterbitkan pada dasawarsa berikutnya.[lower-alpha 1] Infinity Science Fiction dilancarkan di tengah ledakan penerbitan ini.[4]

Pada tahun 1954, Irwin dan Helen Stein memulakan sebuah syarikat penerbitan, Royal Publications dan melancarkan dua buah majalah, Celebrity (Selebriti) dan Our Life (Kehidupan Kita), yang disunting oleh Larry Shaw. Shaw meninggalkan syarikat tersebut dan menjadi penyunting bagi majalah bergenre hot-rod. Apabila mereka memulakan Infinity pada tahun berikutnya, Shaw kembali ke Royal untuk menjadi penyunting. Edisi pertama Infinity berada ada di gerai surat khabar pada bulan September 1955, dengan tarikh tutup November.[4] Stein bersaudara juga melancarkan Suspect Detective Stories (Kisah Detektif Suspek), sebuah majalah jenayah pada bulan yang sama, dan memberikannya kepada Shaw untuk disunting, tetapi mengubahnya menjadi cereka sain setelah lima terbitan, dengan tajuk sebagai Science Fiction Adventures (Pengembaraan Cereka Sains).[5]

Pada akhir tahun 1950-an, Irwin Stein memutuskan untuk memulakan dua majalah yang berkaitan dengan media, Monster Parade (Perbarisan Raksasa) dan Monsters and Things (Raksasa dan Benda), untuk memanfaatkan minat baru dalam filem seram dan cereka sains.[6] Science Fiction Adventures yang mengalami jualan yang teruk telah dibatalkan, dan terbitan terakhirnya bertarikh Jun 1958, manakala terbitan terakhir Infinity pula pada bulan November.[7][8] Bagi menjimatkan wang untuk dua isu terakhir, Stein membuat perjanjian untuk memperoleh beberapa bahan dengan harga yang lebih rendah dan mengambil alih pilihan cerita daripada Shaw.[9]

Pada 1961, Irwin Stein dan Walter Zacharius mengasaskan Lancer Books,[10][11] dan pada tahun 1963, Shaw diambil bekerja sebagai penyunting di Lancer; beliau digantikan oleh Robert Hoskins pada tahun 1968.[11] Hoskins cuba meyakinkan Stein untuk memulakan semula Infinity, tetapi unjuran kewangan mereka menyatakan bahawa edaran sebanyak 50 ribu diperlukan bagi memperoleh keuntungan. Stein menganggap perkara adalah tidak mungkin bagi sesebuah majalah tetapi mungkin untuk siri antologi berkulit lembut. Siri pertamanya, Infinity One (Saujana Satu), muncul pada Januari 1970, dan empat siri lagi dilancarkan pada tiga tahun berikutnya, dan berakhir dengan Infinity Five (Saujana Lima) pada tahun 1973. Siri keenam telah disiapkan untuk diterbitkan tetapi Lancer mengalami kemuflisan pada November tahun itu.[11][12] Buku itu dibatalkan dan Hoskins mengembalikan naskhah tersebut kepada pengarang.[12]